Wednesday, 20 May 2015

BICARA KOMUNITI : GST kesan selepas perlaksanaan

Cukai walau dalam apa bentuk sekalipun pasti akan menjejaskan kesejahteraan individu atau pihak yang membayarnya. 

Dalam keadaan paling teruk atau ekstrem, tindakan memperkenalkan cukai baru atau menaikkan kadar cukai yang sedia ada telah mencetuskan pelbagai tanggapan dan dalam hal-hal tertentu boleh menjatuhkan kerajaan.

Di negara kita sendiri, cadangan GST ini sudah lama dibuat tetapi tidak dilaksanakan kerana kerajaan kurang yakin dan kurang pasti kesannya kepada pembayar cukai dan pengguna sehinggalah dilaksanakan pada 1 April 2015 yang lepas.

Yang pasti adalah tidak akan ada kerajaan yang mengambil langkah memperkenalkan GST atau apa juga cukai jika ia tidak menambah hasil (pendapatan) perbendaharaan.

GST atau dalam bahasa Inggeris Goods and Services Tax adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang sedia ada dan diamalkan.



Secara teori pelaksanaan GST dilihat menutup lubang kesempatan mereka yang cuba menghindari dari membayar cukai . Di negara-negara luar implementasi GST secara berkesan telah membawa kepada manfaat sosial dalam pendidikan, khidmat kesihatan, pengangkutan dan pemeliharaan kanak-kanak.

Namun terdapat beberapa persoalan yang perlu dipertimbangkan dalam konteks Malaysia pada waktu ini.

Hampir memasuki 2 bulan selepas GST dilaksanakan, Keberkesanan pelaksanaan GST ini tiada tanda diawasi dengan ketat sehinggakan ianya diperalat dan dimanipulasi oleh pengeluar, pengedar dan peruncit untuk menipu (profiteering).

Setakat hari ini, harga barang keperluan semakin menunjukkan peningkatan jika dibandingkan sebelum GST bermula. Sebagai pengguna akhir kita masih tertanya apakah pelaksanaan GST ini memberi faedah kepada kita.

Alternatif terhadap tekanan ini, pengguna perlu bijak menilai sebelum melakukan pembelian dan perbelanjaan. 


No comments:

Post a Comment