Bila berjiran... berat sama dipikul, ringan sama dijinjing |
'Rasullah bersabda: "Jibrail berkali-kali mengingatkan aku (supaya berbuat baik) terhadap jiran sehingga aku merasakan seolah-olah mereka akan mewarisi hartaku".
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah salah satu daripada cara hidup Islam. Dalam konteks kejiranan, umat Islam berkewajiban mengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka.
Ini kerana ia memainkan peranan penting dalam menjana satu kehidupan setempat yang aman dan harmoni yang boleh memberi kemudahan, kelapangan dan jalan keluar bagi satu-satu kesulitan atau masalah.
Tuntutan supaya menjalinkan hubungan baik sesama jiran dijelaskan di dalam firman Allah swt yang bermaksud:
'..dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki'.
(An-Nisaa’ : 36)
Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat maka tidak dapat tidak kita perlulah terlebih dahulu menyedari keperluan dan kelebihan hidup berjiran. Antaranya:
Bantuan ketika kecemasan
Jiran adalah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita. Segala perkara yang berlaku ke atas diri kita, ahli keluarga, harta benda dan sebagainya terlebih dahulu diketahui oleh jiran.
Kerana itu, jiran adalah orang yang paling dekat untuk memohon pertolongan pada saat kita ditimpa bencana atau musibah seperti kebakaran, kecurian, kemalangan, kematian dan lain-lain lagi.
Alangkah beruntungnya mereka yang mempunyai jiran yang sedia menolong pada bila-bila masa sahaja.
Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak saudara. Hanya jalinan dan kemesraan yang kuat antara jiran yang dapat mlahirkan suasana seperti ini.
Menambah Kenalan
Mempunyai jiran yang berbeza latar belakang seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya, adat resam dan sebagainya akan menambahkan lagi pengetahuan dan kenalan kita. Firman Allah swt yang bermaksud:
'Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali'.
(Al-Hujurat : 13)
Mempunyai kenalan yang ramai dan rapat lebih-lebih lagi hidup berjiran banyak memberi manfaat kepada kita.
Antaranya mendapat tunjuk ajar jika berjirankan seorang guru atau pensyarah, mendapat nasihat kesihatan jiran berjirankan seorang doktor, mendapat nasihat guaman jika berjirankan seorang peguam, timbalan pendakwaraya atau majistret , membaiki kerosakan pada rumah dan kenderaan jika berjirankan seorang mekanik dan begitulah seterusnya.
Ini tidak termasuk ilmu atau kepakaran lain yang dimiliki oleh jiran seperti ilmu bercucuk tanam, landskap, jahitan, gubahan, masakan, komputer dan lain-lain lagi.
Menjamin keselamatan komuniti
Jiran yang sepakat dan bersatupadu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah, najis dadah, sebagainya.
Ini dapat dilakukan sama ada melalui rondaan komuniti atau kempen-kempen kesedaran. Budaya bantu membantu seperti inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti firman Allah swt yang bermaksud:
'Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran'.
(Al-Maidah : 2)
Menjaga kebajikan penduduk
Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana program atau aktiviti yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat. Program seperti gotong royong, rondaan cegah jenayah, kenduri komuniti, kem solat, sambutan hari-hari kebesaran agama dalam mengeratkan jalinan kasih antara penduduk.
Sudah semestinya, rahsia kejayaan program ini adalah terletak kepada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah swt yang bermaksud:
'…dan urusan mereka dijalankan secara bermusyawarah sesama mereka...'
(Al-Syura : 38)
Maka dengan ini, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kesejahteraan sesebuah komuniti.
Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi seorang jiran yang baik terlebih dahulu.
Walau sebesar mana sekalipun gelombang perubahan yang melanda masyarakat kita namun semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan. Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna dan harmoni mengukuhkan ikatan ukhuwwah Islamiah dan kasih sayang yang kadangkala melebihi daripada keluarga sendiri.
Kehidupan yang mendapat keberkatan daripada Allah swt adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi dengan kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada anasir kerosakan dan kebinasaan.-29/5/2015
Susunan: Mohd Zamir bin Bahall
No comments:
Post a Comment